Majlis Kunjungan Rasmi Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam

Pada 24 Jun 2009M Majlis Islam Sarawak telah menerima kunjungan rasmi daripada Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Awang Haji Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Di Gadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman serta dua orang pegawainya.
Kedatangan rombongan lawatan ke Majlis Agama Islam Sarawak telah disambut oleh semua Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak serta kakitangan JAIS yang lain. Semasa kunjungan ke Majlis Islam Sarawak, rombongan dari Brunei ini telah diberikan taklimat mengenai latarbelakang dan fungsi utama Majlis Islam Sarawak (MIS) serta agensi-agensi yang berada di bawahnya. Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Haji Husini bin Haji Bakir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran & Kewangan JAIS.
Yang Berbahagia Datu Haji Putit Matzen, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dalam ucapan aluannya mengalu-alukan kedatangan rombongan dari Brunei ke MIS. Beliau turut menyatakan rasa berbesar hati di atas kesudian pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei untul berkunjung ke MIS.
Dalam ucapan balas, Yang Mulia Awang Haji Mohd Mahdi berkata pihaknya juga mengalu-alukan kedatangan pihak Majlis Islam Sarawak ke Brunei Darussalam di masa akan datang. Di akhir lawatan Yang Berbahagia Datu Haji Putit Matzen menyampaikan cenderamata jabatan kepada rombongan lawatan dari Brunei. Di harapkan dengan adanya lawatan ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah dan perpaduan di antara umat Islam di Sarawak dan Brunei.
Rombongan lawatan dari Brunei ini berada di Kuching Sarawak pada 22 hingga 25 Jun 2009 bagi menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan 40 Tahun BINA-HIKMAH. Selain daripada lawatan rasmi ke Majlis Islam Sarawak, rombongan turut membuat lawatan dan tinjauan ke Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).






 
Laman ini sesuai dilayari menggunakan Internet Explorer 6.0 Resolusi 1024 x 768
Hakcipta Terpelihara @ 2007 Jabatan Agama Islam Sarawak