Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 20 Sept 2018
Versi 8.1.1
KEKAYAAN DIKONGSI BERSAMA
Tarikh : 22 Mar 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo (Sarawak)
 

  • Utusan Borneo (Sarawak)
  • 21 Mar 2018
  • Oleh Sudan Ajang
  • TERIMALAH: Abang Johari menyampaikan sumbangan daripada Tabung Baitulmal Sarawak kepada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Seminar Pembangunan Ummah 2018 di Dewan Suarah Miri, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Misnu, Dr Abdul Rahman, Juma’ani dan Lee (empat kanan).

    MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan kekayaan negeri ini akan terus dikongsi bersama rakyat Islam dan bukan Islam.

    Beliau berkata, bersikap adil kepada semua kaum di Sarawak bukan sahaja ideal, tetapi juga satu-satunya cara untuk memastikan Sarawak mempunyai masa depan yang cerah.

    “Sarawak bagus kerana rakyat dan pemimpin yang berlainan agama di sini boleh bersama-sama memainkan peranan memajukan negeri. Justeru, saya berharap kita tidak mudah dipecahbelahkan oleh anasir luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Seminar Pembangunan Ummah 2018 di Dewan Suarah Miri, semalam.

    Hadir sama isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin serta dif-dif kenamaan lain.

    Abang Johari berkata, kitab suci al-Quran sendiri sering mengingatkan agar masyarakat Islam sentiasa berbuat baik dan berkelakuan saksama walaupun dengan orang berlainan agama.

    Dalam konteks Sarawak katanya, orang Melayu tidak boleh hidup dalam kalangan mereka sahaja, orang Iban tidak boleh menyisihkan diri dalam masyarakat majmuk dan begitu juga Orang Ulu, Cina, Bidayuh, Melanau, India dan lain-lainnya.

    Ketua Menteri berkata, malah tokoh Islam tersohor seperti Ibnu Khaldun menekankan keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonomi.

    “Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa manusia amat memerlukan organisasi atau kesatuan yang diterjemahkan dalam bentuk al-Madinah yang bermaksud kota dan al-Umran yang bermaksud peradaban atau ketamadunan,” katanya.

    Menurutnya lagi, apa sahaja perancangan pembangunan yang berasaskan kepada pertimbangan perkauman, bukan hanya tidak relevan bahkan menjadi penghalang kepada kemajuan masa depan.

    “Justeru, saya sedia menerima maklum balas mengenai apa jua dasar daripada rakyat sama ada Islam atau bukan Islam,” kata Abang Johari lagi.

    Beliau seterusnya menekankan agar umat Islam mengutamakan ilmu pengetahuan dan penyelidikan agar mereka tidak ketinggalan.

    “Penguasaan ilmu amat penting bagi memperkasa ummah agar mereka dapat bergerak seiring dengan dunia global.

    “Anda juga harus menguasai perkara baharu yang dapat menaikkan ekonomi sekali gus membolehkan anda bersaing,” katanya.

    Dalam konteks ini katanya, teknologi maju mesti diguna pakai untuk memastikan umat Islam terus maju.

    Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan lebih RM40,000 daripada Tabung Baitulmal Sarawak kepada pelbagai pertubuhan termasuk surau, masjid, sekolah dan golongan yang memerlukan.

    Lebih 1,000 peserta menghadiri seminar tersebut terdiri daripada ketua-ketua masyarakat, ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau, wakil pertubuhan daerah, penduduk kampung dan pelajar sekolah.